Thursday, October 14, 2010

MERENUNG KEHIDUPAN


 Started at 9.35 p.m on Monday 11/10/10

 Bismillahirrahmanirrahim….

   Assalamualaikum w.b.t.Alhamdulillah,Allah telah beri kekuatan untuk saya menulis semula setelah berapa lama tidak terdetik untuk menulis.Idea untuk menulis ini datang hasil daripada persekitaran saya sendiri. Setiap hari saya mendengar orang di dekeliling saya memperkatakan tentang masalah-masalah yagn berlaku dalam kehidupan.Kadang-kadang saya terfikir mengapa setiap hari ada saja masalah baru yang diperbincangkan.Perlukah ia diperbincangkan sehingga panjang lebar penjelasannya.Malah masalah itu kadang-kadang menyebabkan kepala saya rasa sakit.Saya lihat sendiri bagaimana masalah itu boleh berlaku,apa puncanya,apa kesannya terhadap diri orang itu sendiri dan orang yang berada disekelilingnya.Dahulu,saya yang langsung tidak tabah dan tidak matang.Selalunya saya akan mengeluh memikirkan keadaan ini.Saya jadi bingung dan susah hati.Saya juga selalu rasa bimbang  bagaimanakah saya mahu meneruskan hidup dengan ujian-ujian yang sangat membebankan ini.Saya juga rasa sangat susah hati apakah yang akan berlaku pada masa akan datang.Adakah saya masih dapat hidup dengan tenang atau akan  dilanda dengan permasalahan yang lebih teruk lagi.
   
    Tapi sekarang keadaan saya sudah sedikit berbeza.Sebenarnya tidaklah saya ingin mengatakan yang saya sudah semakin tabah dan matang.Cuma saya sebenarnya sedang belajar  untuk menuju kearah yang sebegitu.Mudah-mudahanlah,jika Allah beri kekuatan.Berbalik kepada masalah yang berlegar-legar dalam kehidupan kita ini sebenarnya semua manusia sudah tahu apa puncanya.Sebagai  contoh,saya beri contoh yang reality tentang diri saya.Apabila saya akan mengahadapi peperiksaan akhir semester,sebelum peperiksaan bermula saya pasti akan rasa bimbang dan sering rasa berdebar-debar,stress pula semakin menghantui diri saya.Tapi seringkali saya biarkan diri saya dalam keadaan  tidak memulakan usaha untuk  membuat persediaan dalam menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang.Kadang saya lansung tidak ada perasaan takut untuk menghadapi kegagalan sekiranya saya tidak membaca buku atau tidak mengulangkaji pelajaran.Tapi biasanya selepas mendapat keputusan pasti saya akan rasa terkilan terhadap diri sya.Sekiranya saya berusaha dengan lebih gigih lagi pasti keputusan saya akan menjadi lebih baik dari keputusan  yang yang saya perolehi ketika itu.Itulah perumpamaan yang mahu saya kongsikan kepada anda semua.
  
    Manusia ini Allah jadikan sangatlah unik.Masya Allah.Seringkali manusia itu diberi peringatan,tapi manusia suka melangarnya.Manusia tidak suka mengikut apa peraturan yang telah diberikan.Apa-apa sahaja peraturanlah yang ada.Pasti manusia suka melanggarnya.Cuma sedikit  sahaja golongan yang taat setia dengan peraturan itu.Peraturan yang saya maksudkan adalah suruhan daripada Allah.Itulah golongan ghuraba’.Golongan yang ada  pada akhir zaman.Golongan ini adalah terasing daripada orang-orang kebanyakan.Golongan ini tidak pernah putus asa meneruskan hidup mereka dengan penuh kesabaran  dan ketabahan.Seringkali mendapat cemuhan daripada orang lain.Tapi golongan ini tidak pernah kalah denga suasana.Golongan ini juga tidak akan pernah membiarkan dirinya dirosakkan oleh orang sekeliling.Malah,merekalah yang berusaha untuk mengubah persekitaran dan mengajak manusia supaya kembalilah kepada fitrah.Saya sendiri bila membandingkan diri saya dengan golongan ghuraba’ ini saya akan rasa betapa rendahnya martabat saya berbanding mereka.Kalau saya bandingkan keadaan saya sekarang ini saya rasa tersangatlah jauh perjalanan yang saya perlu tempuhi untuk mengejar mereka yang telah jauh terkehadapan.Alangkah hinanya saya.Kadang-kadang bila iman saya pada waktu itu sedang meningkat,maka saya akan menangis mengenangkan betapa jauhnya perjalanan yang saya tempuhi dalam hidup,tetapi langsung saya tidak mengutip apa-apa hasil daripada perjalanan saya itu.Tetapi apabila iman saya lemah,setelah saya bertangis-tangis kemudian saya akan lupa semula dengan apa yang saya sesalkan tadi.Terus,saya akan melakukan dosa semula.Astaghfirullah.Saya masih jauh lagi untuk menjadi golongan ghuraba’.Tapi saya  tidak akan mengalah dengan nafsu,Betapa dalampun saya telah terjatuh dalam jurang kesesatan,saya akan berusaha juga semampunya untuk memanjat semula menuju ke tebing taubat untuk kembali semula kepada kehidupan yang telah Allah tentukan dan gariskan dalam hidup manusia.
  
    Begitulah hari-hari dalam kehidupan manusia semua.Bagi yang bertakwa,mereka akan terus membuat amal kebajikan.Memenuhi jiwa mereka dengan bekalan-bekalan amalan yang dapat menyelamatkan mereka daripada terus terjatuh  kedalam jurang api neraka ketika melalui titan sirat  kerana tidak cukup amalan yang dapat membawa mereka ke syurga.Mereka terus hidup dalam ketenangan.Allah selalu menaungi mereka,meredhoi mereka,memberi mereka segala kekuatan yang membuatkan mereka langsung tidak rasa gelisah dan bimbang ketika menghadapi ujian dan pancaroba kehidupan.Manakala golongan yang sesat.Mereka terus tertipu dengan kehidupan dunia.Mereka terus-menerus melakukan dosa dan kemaksiatan.Kejahatan mereka semakin hari semakin bertambah.Hati mereka semakin hitam.Malah mereka mungkin akan menyerupai syaitan yang bertopengkan manusia.Mereka tidak akan menerima apa sahaja kebaikan yang disuakan kepada mereka kerana hati mereka sudah kering kontang daripada rasa takwa kepada Allah.Biar berbuih manapun mulut orang-orang yang cuba untuk menasihati mereka supaya kembalilah ke pangkal jalan.Pasti mereka tidak akan kembali kapada Allah semula karana mereka sudah rasa seronok dengan dosa-dosa mereka.Mungkin terdapat juga yang akan kembali ke pangkal jalan,tapi amatlah sedikit golongan yang mahu kembali.Cuma Allah sahaja yang mampu mengubah mereka.Hakikatnya,hidayah itu adalah milik Allah.Kita hanya mampu berdoa agar orang yang telah tersesat dikembalikan oleh Allah hatinya kepada kebenaran.

    Pengakhirannya,hala tuju hidup kita ini ditentukan oleh diri sendiri.Tiada masanya mahu menunggu orang lain untuk menasihati kita.Kita sendiri yang perlu merubah dan membentuk diri kita.Sekiranya kita mahu memilih jalan hitam,silakanlah untuk menghadapi azab siksa di neraka.Sekiranya kita mahu pengakhiran yang bahagia,silakanlah untuk beramal.Beramal sebagaimana orang soleh beramal.Tidak semudah kata-kata.Berusaha semampunya untuk mencari kehidupan yang diredhoi oleh Allah.Moga kita semua berjaya untuk mencapai keredhoannya.Berbahagialah sesiapa yang telah memulakan hidupnya dengan perkara yang disukai oleh.Jangan sesekali berpaling dari kehidupan kamu sekarang setelah kamu melalui kehidupan yang penuh kegelapan.Berdoalah selalu agar Allah sentiasa mengeluarkan kita semua dari kegelapan kepada cahaya.Minta dijauhkan daripada dikeluarkan oleh Allah daripada cahaya kepada kegelapan.Nauzubillah.Sekian sahaja.Fikir-fikirkanlah.Wallahualam.

Stopped at_6.45p.m.on Thursday 14/10/2010

No comments:

Post a Comment